Nama Tempatan : Tongkat
Ali
Nama Botani :
Eurycoma longifolia Jack
Nama lain : Penawar
pahit, bedara pahit, bedara putih, bedara merah, hempedu pahit, payung Ali,
tongkat baginda, muntah bumi, petala bumi, akar jangat semang, tongkat rasul,
setunjang bumi dan pasak bumi.
Famili :
Simaroubaceae
Pengenalan:
Tongkat Ali didapati tumbuh di
hutan malar hijau di Asia Tenggara. Di Malaysia Tongkat Ali digunakan secara
meluas dalam penyediaan ubatan tradisional dan dijual dalam bentuk kapsul,
tablet serta tonik. Tongkat Ali merupakan tanaman jenis saka yang tumbuh
menegak tanpa cabang. Dalam keadaan semula jadinya di hutan, ia tumbuh dengan
kadar yang perlahan, boleh mencapai ketinggian sehingga 15 m dengan garis pusat
batang berukuran 20 cm. Daunnya berbentuk bujur (2–3 cm lebar, 8–10 cm panjang)
tersusun secara berpasangan pada satu tangkai (panjang hingga 100 cm). Terdapat
20–30 pasang anak daun bagi setiap tangkai daun. Tangkai daun tersusun secara
“spiral”, sama ada mengikut pusingan jam atau melawan pusingan pada paksi
batang.
Khasiat dan
Kegunaan:
Tongkat Ali terkenal kerana
mempunyai kesan penggalak seks (‘aphrodisiac’). Secara tradisi ia digunakan untuk
merawat beberapa jenis penyakit dan meningkatkan kesihatan. Antaranya, termasuk
pening kepala, luka-luka, kurap, disentri, bengkak, kelenjar, antileukemik,
antitumor, antiviral, antifidan, insektisidal, antiamebik, antimalaria dan
antiradang.Kandungan kimia tongkat ali yang penting dalam industri ialah;
eurikomanone, eurikomalaktone dan eurikomanol (quassinoids) yang banyak
terdapat dalam akar. Maklumat lebih terperinci mengenai hal ini sedang
diselidiki. Penyelidikan menunjukkan bahawa bahan kimia (fitokimia) yang
terdapat dalam tongkat ali boleh meningkatkan paras testosterone (hormon yang
diperlukan untuk fungsi kelelakian).
No comments:
Post a Comment