Nama Tempatan : Serai
Wangi
Nama Botani :
Cymbopogon nardus (L.) rendle
Nama lain : Sereh
wangi (Indonesia), Citronella (Inggeris)
Famili :
Graminae
Pengenalan:
Tanaman Serai Wangi (Cymbopogon
nardus) dipercayai berasal sama ada dari Selatan India atau Sri Lanka. Serai
Wangi juga tumbuh liar di kebanyakan negara di Asia Tropika, Amerika dan
Afrika.
Di Malaysia, serai wangi biasanya
ditanam di halaman rumah sebagai tanaman dapur dan kebelakangan ini terdapat
beberapa pengusaha yang berminat untuk menanam serai wangi bagi menghasilkan minyak
patinya. Serai wangi ialah sejenis tanaman rumput yang tinggi dan mempunyai
rimbunan daun yang lebat. Ia boleh tumbuh sehingga 1.0–1.5 m. Daunnya bersifat
tirus, panjang sehingga 70 – 80 cm dan 2 – 5 cm lebar. Ia berwarna hijau muda,
kasar dengan urat yang selari dan mempunyai aroma yang lebih kuat jika
dibandingkan dengan serai makan. Serai wangi jarang berbunga dan hanya berbunga
bila sudah cukup matang iaitu pada peringkat umur melebihi 8 bulan.
Khasiat dan
Kegunaan:
Dari segi ubatan tradisional serai
wangi digunakan untuk rawatan selepas bersalin dan pening kepala. Caranya
adalah dengan menggunakan air rebusannya sebagai mandian atau dibasahkan kepala
dan dilapkan pada seluruh badan. Ia juga banyak digunakan dalam menghasilkan
minyak urut untuk mengatasi masalah kebas-kebas, lenguh-lenguh, gigitan
serangga dan kembung perut. Bagaimanapun di kebanyakan negara serai wangi
ditanam khas untuk pengeluaran minyak patinya. Serai wangi menghasilkan minyak
pati yang dikenali sebagai `citronella oil’ di pasaran antarabangsa. Minyak
sitronela mengandungi dua bahan kimia penting iaitu sitronelal dan geraniol.
Sitronelal dan geraniol amnya digunakan untuk bahan dasar pembuatan ester-ester
seperti hidroksi sitronelal, genaniol asetat dan mentol sintetik yang mempunyai
sifat lebih stabil dan banyak digunakan dalam industri wangi-wangian. Hidroksi
sitronelal penting untuk sabun dan minyak wangi yang berharga tinggi, manakala
mentol untuk bahan dasar ubat batuk, ubat gigi dan pencuci mulut.
No comments:
Post a Comment