Abang banyak berubah. Jelas sekali beberapa bulan kebelakangan ini.. Dialah satu-satunya abang kandungku yang benar-benar berubah.
Fitri Amri, dialah abangku yang masih belajar di Universiti Malaya, dalam jurusan Sains Bioperubatan tahun akhir. Dialah abang yang sangat baik, cerdas, periang dan sudah pastinya handsome! Abang kini juga sudah mampu membiayai kuliahnya dari hasil mengajar tuisyen dan kelas agama untuk budak-budak sekolah.
Sejak kecil lagi aku dan abang sangat rapat. Tidak ada rahsia di antara kami. Dia selalu mengajakku ke mana saja dia pergi. Dia juga yang menolongku ketika aku memerlukan dan menghiburkan aku ketika aku sedih. Pendek kata abang selalu melakukan hal-hal yang baik, menyenangkan dan beerti dalam hidupku.
Zaman aku memasuki usia dewasa, hubungan kami semakin rapat.Jika ada sahaja waktu kosong, kami akan menghabiskan masa bersama. Jalan-jalan, menonton wayang atau konsert-konsert muzik atau lepak-lepak dengan kawan-kawan. Abangku yang mempunyai karekter lucu itu sentiasa membuatkan suasana santai kami menjadi begitu seronok dan kadang-kala membuatkan teman-temaku ketawa terbahak-bahak. Dengan menaiki satria putihnya, dia mengelilingi Bandar Alor Setar untuk menghantar teman-temanku pulang selepas selesai menjalani latihan teater. Kadang-kadang kami singgah di restoren untuk makan bersama atau bergembira di Taman Ceragan.
Semua orang menyukai abang Fitri. Bukan hanya keluarga atau jiran tetangga, orang tua dan adik-adik teman abangku juga suka akan penampilan abang Fitri!
“ Abang kamu ni handsome, pandai ambil hati orang dan suka buat lawak. Masih solo lagi ke? "
“ Gara-gara kamu bawa abang kamu ke rumahku, membuatkan kakakku membandingkan teman lelakinya dengan abang kamu. Gila!!! " Kata Halida.
“Macam mana Su, nak buat bagi abang kau sukakan aku”, Tanya Hamidah.
Dan banyak lagi lontaran-lontaran senada yang singgah di telingaku. Aku cuma tersenyum. Bangga.
Pernah kutanyakan kepada abang Fitri kenapa dia sehinga sekarang masih belum ada teman wanita. Apa jawapannya?
“ Abang masih belum berminat. Abang kan masih belajar. Kalau abang ada mak we, banyak kena buang duit. Banyak pula yang akan patah hati! He…He…He…”, ujar abang pura-pura serius.
Abang Fitri dalam pandanganku seorang lelaki yang cukup ideal. Dia ada segalanya. Dia mempunyai perancangan masa depan, tetapi tidak pernah takut menikmati hidup. Dia seorang yang moderat tetapi dia tidak pernah meninggalkan solat.
Itulah abang Fitri!
Namun, seperti yang telah kukatakan, entah mengapa beberapa bulan kebelakangan ini dia banyak berubah! Perubahan yang cukup drastik dan aku seolah-olah tidak kenal siapa abang Fitri sebelum ini. Aku sedih. Aku kehilangan . Abang Fitri yang kubanggakan sebelum ini entah hilang ke mana…
“ Abang…Abang…!" teriakku kesal sambil mengetuk pintu bilik abang dengan kuat.
Tidak ada jawapan. Padahal kata mama abang ada di dalam biliknya. Kulihat stiker warna keemasan di hadapan pintu bilik abang Fitri. Tulisan berbahasa Arab. Tidak mampu dibaca olehku. Tetapi aku mampu membaca maksudnya: Jangan masuk sebelum memberi salam!
“ Assalamualaikum!” kataku.
Pintu bilik abang dibuka dan kulihat senyuman lembut abang Fitri.
“ Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh."
“Ada apa Su? Menjerit macam kucing kehilangan anak?", tanya abang.
“ Matikan kaset tu!”, balasku dengan kuat.
“ Kenapa pula?”, tingkah abangku.
“ Sakit telinga Su dengar lagu-lagu tu, abang! Kita bukan orang Arab, kalau abang pasang pun bukannya faham!", marahku .
“ Ini nasyid lah. Bukan sekadar nyanyian Arab tetapi zikir, Su”, jawabnya dengan tenang.
“ Apa la Su nie !”
“ Kan ke bilik ni bilik abang. Abang bebas untuk buat apa pun yang abang rasa abang suka dan baik untuk bilik abang”, kata abang dengan nada lembut.
“ Semalam abang pasang di ruang tamu, Su marah abang, mama pun jadi pelik. Jadi abang pasang je kat dalam bilik abang ni”.
“ Tapi telinga Su ni terganggu dengan bunyi-bunyi tu. Su tengah sedap dengar lagu Ricky Martin , tiba-tiba terdengar pula nyanyian asing dari bilik abang! "
“ Abang pasang taklah kuat, Su”.
“ Yang pastinya terdengar di telinga Su ni !", bantahku.
“ Oklah, kalau macam tu abahg tukar je lagu nasyid melayu atau bahasa Inggeris. Bagus kan!"
“ Tak nak, yang pasti Su tak nak dengar lagu-lagu macam tu”.
“ Su tak nak dengar tutup je lah telinga tu”.
Aku meninggalkan bilik abang dengan muka yang masam.
Hairan dan pelik. Aku benar-benar tidak habis berfikir mengapa selera muzik abang jadi begitu. Pergi mana kaset-kaset scorpion, Elton John, Queen atau Eric Claptonnya?
“Bukan macam dulu lagi lah Su. Dengar lagu Scorpion atau Eric Clapton itu belum tentu mendatangkan manfaat, apalagi pahala. Lain lah dengan lagu nasyid senandung Islam ni. Su nak dengar? Ambil je dalam bilik abang. Abang beli banyak!", kata abang.
"Ala! Leceh la!!! "
Sebenarnya perubahan abang bukan cuma itu sahaja. Banyak. Terlalu banyak! Walaupun aku hanya adik kecilnya yang baru tingkatan dua, aku sudah cukup rimas dengan perubahan-perubahan itu. Terlalu sukar untuk aku menghadapinya.
Dalam satu keadaan aku mengakui bahawa abang Fitri semakin jadi alim. Solat tepat pada waktunya, berjemaah di masjid. Percakapannya hanya tentang persoalan agama. Kalau aku mengintai di sebalik lubang pintu biliknya, dia pasti membaca al-Quran atau buku-buku agama. Kalau aku masuk sahaja ke dalam biliknya, dengan senang hati dia menceritakan isi buku yang telah dibacanya. Akhirnya..
“Su, kalau Su nak pakai tudung abang sanggup pecahkan tabung abang untuk beli tudung dan baju kurung untuk Su. Seorang muslimah mesti kena cantik. Cuba ye, Su. Tak payah lagi lah nak gondolkan rambut Su tu!”, pujuk abang Fitri.
Huh! Kenapa pula dengan abang Fitri ni? Tak pernah-pernah dia nak komen penampilanku yang agak tomboy selama ini. Yang aku tahu, aku hanya ada dua pasang baju kurung dan tudung. Pakaian seragam sekolah dan juga pakaian seragam untuk kelas agama. Sebelum ini dia tidak pernah keberatan jika aku sendiri yang memakai kemeja dan jeansnya. Aku menjadi semakin pelik.
Penampilan Abang juga semakin berubah. Mama sering menegurnya.
“Kenapa dengan penampilan Fitri sekarang ni, lain benar mama tengok?”.
“Lain macam mana tu mama ?”.
“Ya la, tak sehebat dulu. Tak smart lagi. Biasanya kamu yang paling sibuk menjaga penampilan kamu yang katanya ala-ala cover boy…”
Abang cuma tersenyum. “Fitri lebih suka macam ni, ma. Bersih, rapi walaupun sederhana. Nampak lebih santun”.
Benar, dalam pandanganku abang Fitri kini kelihatan lebih kuno dengan hanya kemeja lengan panjang warna koko yang dipadankan dengan seluar panjang yang agak lusuh. Abang lebih nampak tua dari usianya, macam Pak Kasim”, komenku dalam hati yang menyamakannya dengan pemandu kami.
Abang Fitri cuma tersenyum. Dia mengusap-usap rambutku dan berlalu.
Abang Fitri kini lebih banyak diam. Itu juga yang sangat aku rasakan. Sekarang abang tidak suka membuat lawak apatah lagi untuk berbual dengan perempuan. Teman-temanku sibuk bertanya. Irah, peragawati sebelah rumahku yang menaruh hati pada abang juga kebingungan dengan perubahan diri abang Fitri.
Dan yang paling aku pelik, abang sudah tidak mahu bersalaman dengan perempuan! Apa sudah jadi dengan abang sekarang?.
“Abang ni, kenapa? Kenapa sekarang dah tak nak bersalaman dengan perempuan. Kawan Su tadi nak salam dengan abang. Abang ni macam tak pandai hargai orang la. Tak baik tau!”
“Sebab abang hargai dia la, abang bertindak macam tu”, dalih abang.
“Dulu ok je abang salam dengan perempuan, kenapa sekarang tak boleh pulak?” Tanya aku lagi.
Abang Fitri membuka sebuah buku dan memberikan kepadaku. “Baca!”
Kubaca kuat-kuat. “Daripada Aisyah radhuyallahu 'anha. : Demi Allah, Demi Allah, Demi Allah. Rasulullah tidak pernah berjabat tangan dengan wanita kecuali dengan mahramnya. Hadis Bukhari Muslim!”
Abang tersenyum.
“Tapi ustaz Jefri salam je dengan mama. Haji Yahya, Haji Mahmud, Haji Ali”, kataku.
“Bukankah Rasulullah Qudwatun Hasanah? Teladan terbaik?”, kata abang sambil mengusap kepalaku.
“Adik cuba faham dengan baik tau, ya adik manis!”
Adik Manis? Cuba mengerti ye? Huh! Seperti biasa aku keluar dari bilik abang dengan langkah longlai.
Bagiku abang terlalu fanatik! Aku menjadi semakin khuatir. Apa lagi untuk untuk menuntut ilmu putih? Ah, aku juga takut kalau dia terikut-ikut dengan ajaran yang sesat. Namun, akhirnya aku tidak dapat menduga semua itu. Abangku memang orang yang cerdik! Walaupun umurnya baru dua puluh tahun tetapi dia sudah mampu berada di semester akhir di Universiti. Dan itu membuatkan aku semakin yakin bahawa batinnya jernih dan bersih. Cuma…ya, akhir-akhir ini dia banyak berubah. Itu saja. Kutarik nafas dalam-dalam.
“ Nak pergi mana ni, Su?”
“ Nak pergi tengok wayang dengan kawan-kawan”, balasku sambil memakai sepatu. "Abang bila ajak pergi nonton mesti tak nak!”
“ Kalau macam tu baik Su ikut abang je, ok”.
“ Ke mana? Ke tempat yang abang bawa Su tempoh hari ye. Tak naklah”, balasku dengan baik.
Aku masih ingat lagi beberapa minggu yang lalu abang pernah membawaku ke rumah temannya. Ada pengajian. Aku pernah juga dibawanya mengikuti satu diskusi agama. Aku menjadi kekok. Bayangkan aku berhadapan dengan semua perempuan yang bertudung, sedangkan aku cuma memakai t-shirt lengan pendek, seluar jeans dan rambutku yang gondol itu. Abang Fitri menyuruhku memakai tudung dan baju kurung, tetapi aku enggan. Abang Fitri membiarkan saja aku dengan pakaian itu. Yang pastinya, dia mahu aku ikut serta bersamanya dalam pengajian itu.
“Assalamualaikum!” , terdengar suara beberapa orang lelaki.
Abang menjawab salam itu. Tidak lama kemudian, aku melihat abang dan kawan-kawannya berada di ruang tamu. Aku sudah masak dengan tingkah laku kawan-kawan abang. Mereka masuk, tunduk. Aku pelik…seperti perlakuan abang.
“Abang tak kan tak nak kenalkan kawan-kawan abang pada Su kot?" tanyaku dengan selamba.
Dulu tidak pernah ada kawan-kawan abang yang akrab denganku. Tapi sekarang, abang dengan mudahnya memperkenalkan mereka kepadaku. Padahal teman-temannya memang handsome.
Seperti biasa aku selalu mengikuti kegiatan mereka. Mereka mesti bercakap tentang keislaman, diskusi, belajar baca al-Quran atau bahasa Arab…ya., itulah setiap kali apabila mereka bertemu.
Subhanallah, ini beerti abang kamu tu ikhwan ye” kata Fara setengah hysteria apabila mendengar ceritaku. Teman baikku itu memang sudah sebulan memakai tudung. Meminimumkan berpakaian jeans dan baju-baju t-shirt.
“ Ikhwan?", ulangku. “ Makanan apa tu?", suaraku yang kuat membuatkan pelajar-pelajar di kantin sekolah memandang ke arahku.
“ Hei kau ni, lelaki namanya ikhwan, untuk perempuan akhawat. Ertinya saudara. Biasanya digunakan untuk menyapa saudara seiman dengan kita”, kata Fara sambil menghirup air sirap.
“ Kamu kenal Anwar dan Shamsuri kan? Mereka tu contoh ikhwan paling nyata di sekolah kita ni”.
Aku mengerti sekarang. Penampilan Anwar dan Shamsuri tidak jauh berbeza dengan abang Fitri.
“ Dahlah . Jangan dok pening sangat. Nak faham lagi, banyak baca buku Islam, Pergi ngaji tambah ilmu! Insya-Allah kau akan lebih faham secara menyeluruh tentang din kita ni. Orang seperti Anwar, Shamsuri dan abang Fitri kau bukanlah pelik. Mereka hanya berusaha mengamalkan Islam dengan lebih baik dan benar. Kita saja yang belum mengerti dan selalu salah faham”.
Aku terdiam seketika. Aku lihat kesungguhan di wajah bening Fara. Tiba-tiba di mataku dia menjelma begitu dewasa.
“Eh., bila nak datang rumah? Mama dah lama tak jumpa kamu tau. Aku tetap ingin bersama kamu Su seperti dulu, walaupun sekarang kita mempunyai pandangan yang berbeza”, kata Fara tiba-tiba.
“ Fara, aku kehilangan kamu. Aku juga kehilangan Abang Fitri”, kataku jujur. Selama ini aku sengaja pura-pura tidak mmepedulikan kamu. Sebenarnya aku sedih…”
Fara menepuk bahuku. Tudung hitamnya bergerak ditiup angin. “Aku seronok bila kau dah mampu menerima percakapanku seperti ini. Jom tidur kat rumah aku. Bolehlah kita berbual panjang. Nanti boleh aku kenalkan dengan Kak Arina”.
“Kak Arina?”.
“Sepupuku yang baru balik dari Amerika! Satu yang luar biasa, pulang dari Amerika dengan memakai tudung. Itulah hidayah!”.
“Hidayah?”.
“Jomlah! Kita boleh sembang-sembang dengan Kak Arina sampai malam!”.
“Assalamualaikum. Abang Ikhwan…, eh abang Fitri!”, tegurku ramah.
“Eh, adik abang! Dari mana ni? Balik sekolah bukannya nak terus balik rumah!”, kata abang pura-pura marah, selepas menjawab salamku
“Dari rumah Fara, teman sekolah”, jawabku pendek.
“Kenapa abang?", tanyaku sambil mengamati beberapa poster, kaligrafi, gambar-gambar pejuang Palestin, Kashmir dan Bosnia. Puisi-puisi sufi yang tertampal rapi di dinding. Dua rak buku-buku keislaman.
“Abang baca buku apa?”.
“ Ha…baca buku”.
“ Cepatlah tunjukkan pada Su”, desakku
Abang cuba menyembunyikan buku itu daripadaku.
Aku geletek pinggangnya, dia ketawa dan menyerahkan buku itu kepadaku. “Nah!”, katanya sambil menunjukkan buku itu dengan muka merah padam.
“ Oo….! ", aku ketawa. Abang Fitri juga. Akhirnya kami sama-sama membaca buku
‘ Memilih Jodoh dan Tata Cara Meminang Dalam Islam’ itu.
“ Abang…”
“ Ya, adik manis”.
“ Su ni, akhawat juga ye”.
“ Kenapa?”.
“ Su ni akhwat atau bukan, cepatlah jawab”, tanyaku manja.
Abang ketawa. Petang itu dengan sabar dan panjang kami berdua berbual. Tentang Allah, Rasulullah. Tentang ajaran Islam yang diabaikan dan tidak difahami umatnya. Tentang kaum muslimin di dunia yang selalu menjadi sasaran fitnah serta penindasan serta hal-hal yang lain. Dan untuk sekalian kalinya, kini aku merasakan aku sudah kembali bertemu dengan abang Fitriku yang dulu.
Abang dengan semangat terus berbicara. Kadang-kadang dia tersenyum, sesaat kemudian dia menitiskan air mata. Hal yang tidak pernah kulihat sebelum ini.
“ Kenapa abang menangis?”.
“Abang sedih kerana Allah, Rasul dan Islam kini sering dianggap remeh. Sedih sebab umat Islam yang ramai meninggalkan Al-Quran dan Sunnah, juga berpecah-belah. Sedih ketika abang sudah bersenang-senang dan boleh beribadah dengan tenang, saudara-saudara seiman di bumi lain dipenggal lehernya, mengais-ngais makanan di jalan, dan tidur beratapkan langit.
Sesaat kami terdiam. Aku dapat merasakan betapa sensitifnya abang Fitri.
“ Su faham tak apa yang abang ceritakan ni?”.
“ Insya-Allah, itu juga yang diceritakan oleh Kak Arina. Su faham walaupun tidak secara mendalam.”
Malam ini aku tidur ditemani dengan beberapa buah buku milik abang Fitri. Yang pentingnya aku sudah diberikan hidayah!
Hari-hari berlalu. Aku dan abang semakin dekat seperti dulu. Walaupun aktiviti yang kami lakukan berbeza seperti dulu.
Kini, setiap minggu kami akan pergi ke kelas pengajian ataupun ke kuliah-kuliah agama. Kadang-kadang cuma aku dan abang. Kadang-kadang aku memaksa papa dan mama ikut serta.
“Best tau kelas tu, pa. Tak kan setiap minggu papa nak pergi main golf je. Rohani tu memerlukan pengisisan juga?”, tegurku.
Biasanya papa akan mencubit pipiku sambil menyahut, “ Oklah…!”.
Pernah juga abang mengajakku ke majlis perkahwinan kawannya. Aku menjadi bingung apabila sampai di sana. Soalnya pengantin tidak disandingkan tapi dipisahkan. Majlisnya juga memisahkan antara lelaki dan perempuan. Kami ke sana bukan mendapat cenderahati , tetapi dibahagi-bahagikan risalah nikah. Di situ ada dalil-dalil tentang mengapa walimah mereka dilaksanakan seerti itu. Dalam perjalanan pulang, baru abang memberi tahu bagaimana hakikat acara pernikahan dalam Islam. Majlis itu tidak boleh dilaksanakan dalam kemaksiatan apatah lagi dalam bentuk pembaziran. Ianya mesti berlandaskan Islam.
Kini abang Fitri lebih senang bersamaku. Soalnya aku kini sudah mula boleh diatur. Berpakaian lebih sopan. Pakai baju kurung dan ketawa juga sudah tidak keterlaluan.
“Cuba Su pakai tudung, mesti lebih lawa!”, Pinta Abang suatu ketika.
“Rambut Su kan dah panjang sekarang! Belum lagi lah, abang!"
Abang cuma tersenyum. “Su lebih manis kalau pakai tudung dan lebih dicintai Allah. Macam mama”.
Mama juga kini sudah memakai tudung. Mama berubah selepas abang selalu menasihatinya dan membeli buku-buku tentang wanita dan juga menghantar mama mengikuti kelas pengajian.
“Su nak pakai, tapi bukan sekarang”, kataku. Aku memikirkan bagaimana dengan aktivitiku kini, prospek masa depan dan sebagainya.
“Itu bukan halangan”, ujar abang seolah-olah mengerti jalan pemikiranku.
Aku menggeleng-gelengkan kepala. Hairan, mama yang selama ini adalah wanita yang begitu moden mudah sekali terpengaruh dengan abang Fitri!
“Ini hidayah, Su”. Kata mama. Papa yang duduk di samping mama tersenyum-senyum.
“ Hidayah? Perasaan Su dulu yang mendapat hidayah, baru mama! Su pakai baju kurung ni kan dah dapat hidayah!”.
“ La?”, abang kebingungan.
Dengan penuh kebanggaan, kutatap dekat wajah abang . Macam mana tak bangga? Dalam Forum Islam peringkat universiti abang menjadi salah seorang ahli panelnya. Aku yang berada di antara ratusan peserta ini rasanya ingin berteriak, “ Hei, itu kan Abangku!”
Abang Fitri tampil dengan wajah yang tenang. Gaya penyampaiannya cukup bagus. Bahan yang disampaikanya menarik dan retoriknya cukup luar biasa! Semua terpaku mendengar abang berbicara. Aku juga. Abang fasih mengeluarkan ayat-ayat al–Quran dan hadis rasul. Menjawab pertanyaan dengan baik. Aku sempat kebingungan. Aku tidak menyangka abang Fitri setahap itu? Bahkan bahan yang disampaikan oleh abang jauh lebih bagus berbanding ustaz-ustaz yang biasa kudengar.
Pada kesempatan itu juga abang sempat membicarakan tentang muslimah masa kini dan tentangannya dalam era globalisasi.
“Betapa Islam yang jelas mengangkat harkat dan martabat wanita, dituduh wanita dikongkong dengan syariat memakai tudung. Tudung sebagai busana takwa, sebagai identity muslimah, diragukan bahkan oleh para muslimah kita, oleh orang Islam sendiri”, kata abang.
Abang terus berbicara. Kini kata-katanya kucatat di hati.
Dua hari lagi adalah hari ulangtahunku. Dan setiap kali pulang dari sekolah aku akan singgah ke rumah Fara. Minta diajar cara-memakai tudung. Kak Arina gembira melihat kesungguhanku untuk memakai tudung.
Aku mahu membuat satu kejutan kepada abang Fitri. Aku akan datang ke biliknya dengan memakai tudung putihku. Kemudia mengajaknya shopping untuk membeli barang-barang untuk majlis harijadiku.
Aku bayangkan dia akan terkejut gembira, memelukku. Apalagi aku ingin abang memberikan ceramah dalam majlis itu. Aku juga akan menjemput anak-anak yatim untuk meraikannya.
“Abang Ikhwan!! Abang Fitri!!! Abang…! Assalamualaikum!”. Kuketuk pintu kamar abang Fitri dengan riang.
“Abang belum pulang”, kata mama.
“Yaaa, ke mana, ma??”. Keluhku.
“Abang kan dijemput beri ceramah di Kolej Matrikulasi Seremban. Katanya dia berangkat terus dari kampus…”
“ Jangan-jangan abang tidur di sana terus, Ma. Biasanya malam minggu kana bang suka tidur di rumah kawannya, atau di masjid”.
“ Insya-Allah tak. Kan abang ingat ada janji dengan Su”, kata mama menepis kegelisahanku.
Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal. Entah mengapa aku teringin sangat bersama abang ketika ini.
“ Eh, baiki sikit tudung Su tu, muncung semacam je!”, mama ketawa.
Tanganku sibuk merapikan tudung yang kupakai. Tersenyum pada mama.
Sudah masuk Isya’. Abang belum pulang lagi.
“ Mungkin dalam perjalanan. Seremban tu agak jauh juga”, hibur mama.
Tapi detik demi detik, minit demi minit berlalu. Sampai jam sepuluh malam, abang belum juga pulang.
“ Tidur sana agaknya, ma”, duga papa.
Mama menggeleng, “ Kalau dia nak tidur sana selalunya dia akan beritahu”.
Aku menghela nafas panjang. Menguap. Ngantuk. Tudung putih yang kupakai belum juga kulepaskan. Aku mengharapkan abang pulang dan melihatku memakainya.
“Kriiiiiiiiiiiiiing!!”. Telefon berdering.
Papa mengangkat telefon. “ Hello, ya betul. Apa? Fitri???”.
“Ada apa , pa?”. Tanya mama cemas.
“ Fitri…, kemalangan…Di hospital”, suara papa lemah.
“ Abang Fitri!!!”. Air mataku jatuh berguguran. Tubuhku lemah.
Tidak lama kemudian kami sudah berada dalam perjalanan menuju hospital. Aku dan mama menangis. Tudung kami basah.
Dari luar kamar kaca, aku melihat tubuh abang Fitri terbaring lemah. Tangan, kaki dan kepalanya dibalut. Maklumat yang kudengar sebuah lori menghentam kereta yang dipandu oleh abang. Dua kawan abang meninggal di tempat kejadian, abang pula berada dalam keadaan kritikal.
Doktor melarang kami masuk ke dalam bilik itu.
“ Tolonglah doctor, saya adiknya! Abang saya mesti nak tengok saya pakai tudung, pintaku penuh rayu di hadapan seorang doctor dan jururawat.
Mama dengan tenang merangkulku, “ Sabar, Sayang…sabar”.
Di suatu sudut aku nampak papa sedang berbicara dengan doctor yang khusus merawat abang. Wajah mereka agak suram.
“Nurse, abang saya pasti hidup kan, nurse? Doktor? Ma?”, tanyaku. “Papa, abang boleh ceramah kan masa majlis ulangtahun Su ye?”. Air mataku terus mengalir.
Tetapi tidak ada yang menjawab pertanyaanku kecuali kebisuaan dinding-dinding hospital. Aku melihat dari kaca bilik itu tubuh yang selama ini kulihat gagah tetapi kini sudah tidak bergerak.
“ Abang, sembuhlah, abang…abang…Su sudah menjadi adik abang yang manis, abang…”, bisikku.
Tiga jam kami berada di hospital. Sekitar ruang ICU kini menjadi sepi. Aku berdoa dan terus berdoa. Ya Allah, selamatkanlah abang.
Tidak lama kemudia doctor memanggil kami bertiga. Katanya abang sudah sedar dan memanggil-manggil nama kami.
“Pergunakan waktu yang ada untuk mendampinginya seperti permintaannya. Sukar baginya untuk bertahan. Maafkan saya…lukanya terlalu parah, perkataan terakhir doctor menggoncang perasaan, menghempaskan harapanku!
“ Abang…, ini Su, abang…,” sapaku berbisik.
Tubuh abang bergerak sedikit. Bibirnya seolah ingin mengucapkan sesuatu.
Kudekatkan wajahku kepadanya. “Su sudah pakai tudung”, lirihku kepadanya. Hujung tudungku yang basah kusentuhkan pada tangannya.
Tubuh abang bergerak lagi
Kudengar suara abang yang terlalu perlahan.
“Syukur, Su dah pakai tudung…”.
Aku menahan esakku.
Abang memandangku lembut, dia tersenyum. Bibirnya mengucapkan sesuatu seperti hamdalah.
“Jangan cakap apa-apa dulu, abang”, ujarku perlahan ketika kulihat abang cuba berusaha lagi untuk mengatakan sesuatu.
Kian lama kurasakan tubuh abang semakin pucat. Tetapi seketika aku merasakan tubuh abang bergerak. Aku melihat abang masih boleh mendengar apa yang kami katakana, meskipun hanya boleh membalasnya dengan senyuman dan isyarat mata.
Kuusap setitik air mata yang jatuh. “Sebut nama Allah banyak-banayak, abang”, kataku sambil menggenggam tangannya. Aku sudah pasrah kepada Allah. Aku berharap agar abang terus hidup. Tetapi sebagai insan beriman, seperti juga yang diajar oleh abang Fitri, aku pasrah pada ketentuan Allah. Allah tentu tahu apa yang terbaik bagi abang.
“ Laa…ilaaha…illa…Ilah.., Muham…mad…Ra…sul…Al…lah..”, suara abang perlahan untuk kami dengar.
Abang telah kembali kepada Allah. Tenang sekali. Seulas senyuman menghiasi wajahnya.
Aku memeluk tubuh yang sudah terbujur kaku dan dingin itu kuat-kuat. Mama dan papa juga. Esak kami bersahutan walau kami rela abang pergi.
Selamat jalan, abang Fitri
EPILOG
Buat ukhti manis Suhana Maria,
Semoga memperoleh umur yang berkah
Dan jadilah muslimah sejati
Agar Allah selalu bersamamu.
Daripada abang sayang,
Abang Ikhwan, eh abang Fitri!
Kubaca berulangkali kad ucapan dari Abang Fitri. Aku terharu.
Jubah dan tudung warna hijau muda, cantik sekali. Akh, ternyata abang telah mempersiapkan hadiah untuk hari ulangtahunku. Aku tersenyum sendiri.
Aku memandang bilik abang yang kini sepi. Aku rindu panggilan adik manis, aku rindu suara nasyid. Rindu dengan diskusi-diskusi di bilik ini. Rindu suara abang melantunkan kalimah Allah. Hanya wajah para mujahid di dinding bilik yang menatapku. Puisi-puisi sufi yang seolah-olah bergema di ruang ini…
Setitik air mataku jatuh lagi.
“ Abang, Su akhawat kan?”.
“Ya, Insya-Allah akhawat?”.
“Ya, benar.
“Ya, adik manis!”.
“Kalau ikhwan itu harus ada janggut, ya?!.
“Kenapa tanya macam tu?”.
“Saja…”.
Abang Fitri cuma tersenyum. Tersenyum dan terus tersenyum.
“La, kenapa senyum pula, kan abang pun ada janggut jugakan”.
“Handsome, kan”.
Setitis, dua titis, air mataku kian mengalir seperti air sungai.
Kumatikan lampu. Kututup pintu biliknya perlahan-lahan. Selamat jalan, abang Ikhwan! Selamat jalan, abang Fitri.
Sekadar diupload untuk tatapan penggemar cerpen oleh :
Mohd Daharudin bin Haji Daud bin Haji Yusoff (anjang dahar)
Mohd Daharudin bin Haji Daud bin Haji Yusoff (anjang dahar)
No comments:
Post a Comment