Hari Kekasih @ Valentine Day : Perosak Umat Islam - Mohd Daharudin bin Haji Daud bin Haji Yusoff

Breaking

Home Top Ad

Post Top Ad

Monday 12 February 2018

Hari Kekasih @ Valentine Day : Perosak Umat Islam

Tajuk Khutbah : Hari Kekasih  @ Valentine Day : Perosak Umat Islam
Hari : Jumaat
Tarikh : 9 Februari 2018 / 23 Jamadil Awal 1439
Tempat : Masjid Madinatul Ilmi, Kuala Ketil
Khatib : Ustaz Jemputan

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِي أَرسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَــٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللّٰهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِــإِحْسَنٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ،
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang hadirin sekalian, marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dengan mengerjakan segala suruh perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan, kebahagiaan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat nanti.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Islam adalah agama rahmat. Islam amat menggalakkan umatnya supaya menjadikan kasih sayang sebagai salah satu teras dalam kehidupan, bukan sahaja sesama muslim malahan dengan orang bukan Islam bahkan dengan makhluk-makhluk yang lain, selagi mana kasih sayang itu tidak bercanggah dengan ketetapan syara’.

Islam menganjurkan hidup berkasih sayang ini bukan hanya pada tempoh-tempoh tertentu dan bukannya pada hari-hari tertentu, bahkan Islam menganjurkan kita untuk menghayati rahmat kasih sayang ini sepanjang hayat di dunia sehingga alam selepas mati. Namun begitu, agama Islam menolak dan mengharamkan apa jua bentuk kasih sayang dengan apa juga tema dan namanya, sekiranya bertentangan dengan hukum syara’.

Sidang Jumaat sekalian,

            Sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya dewasa ini, kita sebagai umat Islam sedang berdepan dengan berbagai cabaran. Cabaran ini semakin hari semakin hebat dan mencabar, mencabar keyakinan aqidah kita, mencabar pegangan syariat kita dan mencabar keindahan akhlak kita. Dengan kepesatan teknologi yang ada, berbagai budaya buruk yang bertentanan dengan agama Islam kia menular dan menjalar di seluruh pelusuk negeri malahan mula menyusuk masuk ke dalam masyarakat dan keluarga kita. Musuh-musuh Islam secara tersusun menyerang minda umat Islam, memasang perangkap agar umat Islam terutamanya muda mudi kita terjebak dengan budaya mereka yang sama sekali bertentangan dengan agama Islam yang suci ini.

Betapa benarnya firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat : 120 :

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
﴿وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَـٰـــرَىٰ حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللهِ هُوَ الْهُدَىٰ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَآءَكَ مِنَ اْعِلْمِ لا مَا لَكَ مِنَ اللهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ﴾ (سورة البقرة : 120)

Mafhumnya :
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) : Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu”.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Antara budaya barat yang diagung-agungkan dan disebut dengan besar-besaran, yang boleh memesongkan aqidah dan akhlak kita umat Islam ialah perayaan Hari Kekasih atau Valentine Day. Hari Kekasih itu mereka sambut pada setiap empat belas Februari setiap tahun.

Sebagai umat Islam, bukan tanggungjawab kita untuk menghalang mereka dari meraikan budaya mereka, tetapi kita wajib bertanggungjawab agar kita tidak turut meraikannya, kita juga wajib memastikan mereka yang berada di bawah tanggunjawab kita tidak turut serta dalam perayaan tersebut.

Sidang kaum muslimin sekalian,

Untuk keharmonian hidup bermasyarakat yang berbilang agama dalam negara kita ini, pihak berkuasa agama tidak menghalang orang bukan Islam mengadakan sambutan hari tersebut. Tetapi umat Islam ditegah dari menyertainya. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-71 telah membincangkan hukum orang Islam yang menyambut perayaan Hari Kekasih.

Keputusan Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan meraikan Valentine Day atau Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh agama Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Sebagai ibu bapa, seharusnya kita menyayangi anak-anak muda kita. Ibu bapa seharusnya perlu ada sifat ingin mengambil tahu, apakah aktiviti-aktiviti yang disajikan dalam acara sambutan Hari Kekasih itu? Mengapakah mereka beria-ia sangat ingin menyertai hari yang mereka agung-agungkan sebagai Hari Kekasih itu? Media masa sering melaporkan, Hari Kekasih ini dianjurkan dengan berbagai aktiviti hiburan, pelbagai acara sambutan yang tidak bermoral. Mereka bukan sahaja menghabiskan masa malam perayaan tersebut dengan berpasang-pasangan, bahkan mereka bergaul bebas dan ada sebahagiannya yang terlanjur ke lembah penzinaan.

Sebenarnya, budaya ini akan memusnahkan umat Islam. Budaya keseronokkan yang berlebihan yang melampaui batas syari’at inilah yang amat dibimbangi oleh Rasulullah S.A.W. Daripada Abi Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu; Rasulullah S.A.W bersabda :

سَيُصِيبُ أُمَّتِي دَاءُ الْأُمَمِ. فَقَالُوا يَا رَسُولُ اللهِ وَمَا دَاءُ الْأُمَمِ؟ قَالَ الْأَشَرُ وَالْبَطَرُ وَالتَّدَابُرُ وَالتَّنَافُسُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالْبُخْلُ حَتَّى يَكُونَ الْبَغْيُ ثُمَّ يَكُونَ الْهَــرْجُ.(رواه الطبراني)

Mafhumnya ;
“Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit seperti yang telah menimpa umat-umat sebelumku. Rasulullah S.A.W ditanya, apakah musibah itu, ya Rasulullah? Baginda menjawab, “Penyakit itu ialah; budaya makan yang berlebihan, keseronokkan yang melampau, suka berlumba merebut habuan dunia, benci membenci, amat kedekut sehingga berlaku tindas-menindas dan peperangan”.

Sidang hadirin sekalian,

Menurut sejarah, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol, iaitu Saint Valentine. Jasa paderi ini yang telah berjaya menakluk kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella. Justeru, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan Hari Valentine. Kononnya hari Kekasih ini adalah untuk menunjukkan rasa sayang kepada seseorang. Rasa cinta bagi setiap pasangan yang sedang berkasih. Persoalannya di sini, adakah Islam membenarkan pasangan kekasih berpimpinan tangan, menari terkinja-kinja, berpelukan dan minum arak semata-mata untuk menunjukkan rasa sayang pada kekasihnya?

Hakikatnya, sambutan Hari kekasih ini lebih kepada mengagungkan perayaan bukan Islam (ajaran Kristian), selain mengalakkan perbuatan ma’siat. Secara terang ia diharamkam dalam Islam kerana menggalakkan perlakuan sumbang yang bercanggah dengan tuntutan syara’.

Jelaslah di sini bahawa agama Islam melarang tegas umatnya merayakan Hari kekasih ini kerana ia adalah menyerupai budaya dan cara hidup bukan Islam disamping menggalakkan maksiat.

Sabda Nabi S.A.W daripada Abdullah ibnu Umar :
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ (رواه أبو داود)
Maksudnya:
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut”.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Dalam kesempatan yang amat berharga ini, mimbar sekali lagi ingin menyeru sidang Jumaat sekalian, marilah kita memastikan tiada seorang pun dari kalangan kita yang akan membiarkan anak-anak dan mereka yang berada di bawah tanggungan kita terlibat dengan gejala mungkar ini. Semoga Allah memelihara kita semua dan juga memelihara hidup di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
﴿قُلْ يَــــٰــأَيُهَا الْكَــٰــفِرُونَ (1) لَآ أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَآ أَنْتُمْ عَـــٰـــبِدُونَ مَآ أَعْبُدُ (3) وَلَآ أَنَاْ عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ (4) وَلَآ أَنْتُمْ عَـــٰـــبِدُونَ مَآ أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (6) 
(سورة الكافرون : 1-6)

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِي الْقُرْآنِ اْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الْأَيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلَاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ. أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَعْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيمنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ، فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِينَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِينَ.

No comments:

Post a Comment

Post Bottom Ad